Monday, March 14, 2011

Makanan khasiat untuk meredakan stres

1. Kekacang
Antaranya ialah seperti kacang merah, kacang putih, kacang hijau dan sebagainya. Kekacang mempunyai sumber protein yang tinggi terutama apabila diambil bersama dengan bijirin. Selain daripada protein, kekacang juga kaya dengan thiamin (B1). Mereka yang kekurangan thiamin dikatakan sering mempamerkan nilai nilai moral yang rendah, kekeliruan fikiran dan sering meradang.

2. Beras Perang dan Bawang Putih
Kedua makanan ini kaya dengan kandungan vitamin B6 yang diperlukan oleh otak untuk mengungkai bina protein dan membentuk kolagen.

3. Bayam
Bayam merupakan salah satu sayuran hijau yang kaya dengan sumber klorofil. Klorofil berupaya menghalau toksin daripada tubuh dan juga mengurangkan radang. Sayuran hijau juga kaya dengan magnesium iaitu sejenis mineral yang berupaya menghalang terbentuknya "anxiety peptide" yang merupakan rangkaian asid amino di otak yang boleh menyebabkan rasa bimbang dan risau.

4. Dadih
Dadih adalah makanan yang mempunyai sumber kalsium yang penting. Ia berupaya merendahkan kadar ritma jantung dan juga tekanan darah tinggi dengan mengawal ssaraf periferal dan otot yang mudah teransang. Kontraksi otot yang normal dan pengendurannya bergantung kepada pengambilan kalsium.

5. Asparagus
Asparagus merupakan sayuran yang kaya dengan "folate" untuk membantu otak menguatkan daya ingatan. Ia adalah makanan yang paling baik untuk otak dan sentiasa sibuk.

6. Produk kacang soya
Antara produk kacang soya yang mudah didapati termasuklah tauhu, taufu fa, air kacang soya dan tempe. Kebanyakan produk kacang soya ini kaya dengan 'trytophan' iaitu sejenis bahan utama dalam pembentukan melatonin. Melatonin adalah hormon yang dihasilkan oleh otak yang dapat mengurangkan stres, menenangkan saraf dan tidur yang nyenyak.

7. Betik
Betik kaya dengan sumber vitamin C, bahan berkhasiat yang membantu tubuh untuk mengimbangkan asid amino dan menukarkan asid folik kepada bentuk yang lebih aktif. Ia juga berfungsi untuk membaiki tisu-tisu badan.

8. Aprikot kering
Aprikot tidak kira kering atau segar kaya dengan sumber potasium dan vitamin A. Tahap vitamin A yang rendah dikatakan boleh mendorong kepada kesugulan. Bahan mineral yang dikenali sebagai 'manganese' yang terdapat pada aprikot meransang pertumbuhan hormon-hormon seks. Pertumbuhan hormon seks ini dikatakan dapat meningkatkan kesihatan mental.

9. Pisang
Pisang mengandungi melatonin dan juga kaya dengan potasium. Melatonin dan potasium ini dipercayai dapat meredakan hipertensi.

10. Kentang
Kentang juga kaya dengan potasium dan vitamin B. Tahap kandungan vitamin B yang rendah ada hubungkait dengan kegelisahan, tekanan, kebimbangan, meradang dan perasaan yang berubah-ubah.

11. Bijirin oat.
Bijirin oat kaya dengan vitamin B yang penting kepada sistem saraf. Vitamin B juga terbukti dapat membantu mengurangkan tekanan dan depresi.

sumber : majalah keluarga - jun 2000

No comments:

Post a Comment